Sunday, January 2, 2011

Musibah Dan Sikap Yang Betul…

Umat Islam menyedari sejak awal lagi, dunia adalah tempat ujian dan tribulasi. Syurga adalah tempat kesenangan yang abadi. Justeru. Umat Islam bersedia untuk bersabar dengan segala ujian di dunia. Pada masa yang sama, mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat. Allah memberitahu dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami pasti mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar.”

Walau bagaimanapun, ujian yang menimpa ini tidak berterusan selama-lamanya. Ia hanyalah satu proses pendidikan dan pembangunan diri yang diperlukan sebelum kejayaan dan kemenangan dicapai. Inilah yang dijanjikan Allah dalam surah as-Syarh ayat 5 hingga 6 yang bermaksud, “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.”

Hal ini diperkukuhkan lagi melalui kata-kata nabi yang dilaporkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud, “Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya beserta dengan kepayahan adalah kesenangan.”

Selain itu, ujian menggugurkan dosa. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi berkata, “ Tidak ada satu pun musibah yang menimpa ke atas Muslim, sama ada kepenatan, sakit yang kronik, kerisauan, kesedihan, sebarang kesakitan dan kemurungan, sehingga duri yang terkena di badannya, melainkan ia akan menjadi kifarah baginya dari dosa-dosa.”

Oleh sebab itu, bukanlah perkara pelik apabila umat Islam berterima kasih serta bersyukur kepada Allah apabila ujian menimpa mereka. berhubung dengan ini, Umar bin Khattab pernah berkata, “Apabila aku mendapat ujian duniawi, aku bersyukur kerana terdapat padanya empat nikmat. Pertama,ujian itu tidak berkaitan dengan agama. Kedua, ia tidak begitu besar berbanding ujian agama. Ketiga, aku akan mendapat keredhaannya dengan ujian itu keempat aku mengharapkan pahala daripadanya.” Inilah fikiran positif yang sepatutnya dicontohi.

*** Moga ana dapat bersabar dengan semua ujianMU ini Ya Allah…

No comments:

Post a Comment