Sunday, January 2, 2011

Tiga Bahagian Sabar...

Sabar bukan bermaksud menerima sahaja keadaan serta menanti perubahan tanpa usaha. Sebaliknya, umat Islam disuruh bersabar dan serentak dengan itu melakukan amal serta usaha. Justeru, Allah menyuruh umat Islam mencontohi kesabaran rasul ulul azmi.

Allah menyatakan dalam surah al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud, “ Bersabarlah sebagaimana bersabarnya rasul-rasul ulul azmi.” Rasul-rasul yang dimuliakan Allah ini adalah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad.

Mereka beramal serta berusaha dengan bersungguh-sungguh di samping bersabar. Misalnya, Nabi Nuh membina bahtera, Nabi Ibrahim memecahkan berhala dan berdakwah dengan Namrud, Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan membawa Bani Israel keluar dari Mesir. Demikian juga dengan Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w.

Di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa disebutkan, sabar mempunyai tiga bahagian. Pertama, sabar dalam meninggalkan maksiat. Kedua, sabar dalam melakukan ibadah. Ketiga, sabar apabila ditimpa ujian dan musibah.

No comments:

Post a Comment